Wednesday, February 11, 2009

Agro Biz

Hasil Lumayan Tempoh Singkat - Nutri Agrotech sasar tembusi pasaran eksport cendawan tahun depan.

Oleh Siti Fatimah Hassan
bisnes@hmetro.com.my

PERMINTAAN tinggi di peringkat pasaran global terhadap cendawan membuktikan tanaman jangka pendek itu berpotensi untuk diusahakan secara besar-besaran bagi menjana ekonomi di bawah pelan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Menyedari kepentingan itu, Jabatan Pertanian negeri kini giat mengadakan pelbagai latihan khusus membimbing serta menggalakkan petani menceburi bidang tanaman itu.
Hasil perusahaan tanaman itu juga, Nutri Agrotech Enterprise kini muncul sebagai sebuah syarikat pengeluar cendawan terbesar di negeri ini.
Menurut Pengarah Nutri Agrotech, Mohd Asmawi Mohamed Noor, ketika ini syarikatnya mengeluarkan kira-kira 100 hingga 130 kilogram (kg) cendawan tiram kelabu setiap hari.
“Sejak perniagaan ini dibuka tujuh tahun lalu, kami hanya merancang untuk menambah pendapatan. Selepas setahun terbabit dalam perniagaan ini, ia berupaya mengeluarkan hasil yang dituai sebanyak lapan kali setahun,” katanya.
Mohd Asmawi berkata, tanaman cendawan dilihat semakin mendapat permintaan terutama cendawan tiram kelabu yang mempunyai pasaran lebih luas sebagai bahan utama untuk tujuan perubatan dan kesihatan.
Katanya, syarikat itu mensasarkan untuk membuka tiga lagi rumah cendawan pada tahun ini bagi memenuhi pasaran sekali gus dapat menembusi pasaran eksport menjelang tahun depan.
Sementara itu, peserta program Jabatan Pertanian negeri, Rosmaizan Che Abdullah, berkata dia kini bergiat dalam bidang perniagaan cendawan proses selepas mendapat bimbingan dalam kursus itu.
“Saya mula menjual sebanyak 20 peket cendawan goreng sejak September tahun lalu dan kini ia menjadi kegemaran di kalangan pelanggan.
“Kini pengeluaran cendawan ditingkatkan dengan memproses 6 kg cendawan sehari untuk menghasilkan lebih 100 peket cendawan goreng,” katanya.
Menurut Rosmaizan, dia mensasarkan untuk menjual sebanyak 500 peket cendawan goreng sehari dan memasarkan produk terbabit di pasar raya besar di seluruh negeri.
Setakat ini, Malaysia mengeluarkan kira-kira 24,000 kg cendawan setiap hari tetapi hasil berkenaan masih jauh daripada menepati permintaan pasaran iaitu sebanyak 50,000 sehari.
Sebanyak 334 ladang komersial cendawan sudah diwujudkan di negara ini dan enam daripadanya beroperasi secara skala besar dengan hasil lebih 500 kg sehari.

Nama Pengusaha : Md.Asmawi / Azzuddin
Hp No: 019 9659488 / 013 9017662
Lokasi : Lot 448, Kampung Padang Salim
16150 Kota Bharu, Kelantan
Website : http://www.nutriagrotech.com
Email: enquiry@nutriagrotech.com

# Sumber : Harian Metro - 11.2.2009