Oleh RUZSDAN EMBONG
DUNGUN 24 Nov. - Tindakan nekad seorang pemuda, Mohd. Eruan Salleh, 28, berhenti kerja di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara semata-mata untuk melibatkan diri secara serius dalam bidang perusahaan cendawan kini ternyata berbaloi.
Biarpun baru setahun mengusahakan projek tanaman cendawan tiram kelabu, bekas pegawai teknikal itu kini mampu menarik nafas lega setelah pendapatannya mencapai angka RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.
Eruan ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, dia gembira dan berasa bangga dengan kejayaan yang dikecapinya sekarang termasuk berjaya menubuhkan syarikat miliknya sendiri iaitu Agro Mesra Trading.
"Mulai sekarang, saya tidak akan menoleh lagi ke belakang, saya akan pastikan usaha dan pengorbanan saya ini akan terus berkekalan serta tidak menjadi sia-sia," katanya ketika ditemui di tapak semaian berdekatan rumahnya di Kampung Padang Pulut di sini semalam.
Eruan yang juga anak keempat daripada lapan beradik pernah mengikuti pengajian Veterinar di peringkat diploma di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1998 sebelum melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam bidang Sains Makanan di universiti yang sama.
Selepas menamatkan pengajian pada tahun 2004, dia bekerja di sebuah agensi pertanian di ibu negara sebagai pegawai teknikal dengan gaji permulaan RM1,800 bagaimanapun berhenti pada hujung tahun lalu bagi memberi tumpuan terhadap tanaman cendawan.
Eruan berkata, berbekalkan modal sendiri dan bantuan ahli keluarga sebanyak RM3,000, dia dan keluarganya telah memulakan projek penanaman cendawan tiram kelabu berhampiran rumahnya.
"Sepanjang empat hingga lima bulan pertama projek ini diusahakan, kami berjaya memperoleh pendapatan purata sebanyak RM2,000 sebulan hasil daripada jualan sebanyak lima kilogram cendawan sehari ke pasar Dungun dan kedai-kedai makan sekitar.
"Namun, selepas mengambil keputusan untuk memperbesarkan projek penanaman ini beberapa bulan lalu, kini jualan dan hasil pendapatan kami meningkat kepada RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,'' katanya.
Dalam pada itu katanya, sepanjang mengusahakan projek cendawan tersebut, dia turut menghadapi pelbagai masalah termasuk daripada segi bekalan, cara memproses dan juga serangan penyakit namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha.
Katanya, selain mengusahakan tanaman itu, dia turut menyediakan khidmat menjual peralatan tanaman cendawan dan menawarkan kursus berkaitan pada yuran yang berpatutan.
Mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 019-6056213 untuk keterangan lanjut.
#Sumber dari Utusan Online - Edisi Pantai Timur.