Projek Pertanian Mini Lebih Praktikal
SEMUA orang apabila memperkatakan mengenai projek pertanian akan menggambarkan tanah ladang yang luas, mesin-mesin hebat merata tanah, anak-anak pokok spesies terkini menunggu hari untuk ditanam dan juga hasilnya yang berpotensi untuk pasaran eksport.
Maka istilah-istilah gah dan besar digunakan untuk menggambarkan kehebatan projek-projek pertanian seperti membawa pertanian tempatan ke persada dunia, pertanian sehebat sektor konglomerat dan sebagainya.
Usaha mengkomersialkan pertanian itu memang baik tetapi tentu sukar bagi mereka yang mempunyai tanah sekangkang kera dan sumber kewangan terhad untuk menjadi 'gergasi pertanian' seperti dikehendaki kerajaan.
Sehubungan itu, bagi mengelakkan golongan ini terpinggir, pelbagai insentif, inisiatif dan projek diperkenalkan bagi membolehkan pengendali projek-projek pertanian mini juga boleh meningkatkan pengeluaran mereka dan memasarkan produk dengan lebih cekap.
Bagi meneruskan kesinambungan usaha membentuk lebih ramai usahawan tani berjaya, Seminar Pertanian Bestari 2009 - Jana Hasil dari Dunia Tani akan diadakan 21 Mac ini di Institut Integriti Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Berbeza dengan tahun 2008 yang menekankan projek berskala mega, pemilihan projek-projek pertanian pada tahun ini menekan beberapa aspek utama iaitu pertama, projek yang mampu berdaya saing.
Kedua, projek yang berskala mini tanpa memerlukan modal yang besar, ketiga, projek yang mempunyai pasaran dan permintaan tinggi dan terakhir, projek yang dapat memberi pulangan yang memberangsangkan.
Usaha ini dilihat bertepatan dengan senario ekonomi dunia yang semakin merudum. Sehingga Februari tahun ini, puluhan ribu pekerja sektor swasta di negara ini telah diberhentikan sama ada secara sementara ataupun kekal.
Angka tersebut akan terus meningkat dari masa ke semasa. Bukan setakat kehilangan pekerjaan malah harga barang-barang runcit dan kos hidup juga tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan yang positif.
Bagi individu yang terlibat dalam pemberhentian kerja tersebut, sektor pertanian boleh menjadi alternatif untuk membantu diri, selain mengadakan perniagaan kecil-kecilan.
Sehubungan itu, Kumpulan Perintis yang merupakan penganjur seminar melihat masyarakat perlu mengambil mengambil kesempatan dari dunia pertanian yang agak kalis kegawatan kerana semua manusia terpaksa makan.
Melalui projek Pertanian Bestari 2009, Perintis menyarankan dan menggalakkan sekurang-kurangnya sebuah keluarga mempunyai satu projek pertanian berskala sederhana atau mini untuk menambahkan pendapatan.
Kali ini, empat projek pertanian mini iaitu ternakan keli biotek, ternakan lintah, tanaman cendawan dan tanaman serai peha ayam akan diketengahkan setelah mengambil kira faktor hasil yang memberangsangkan daripada projek tersebut.
Seramai empat orang usahawan tani berjaya yang bernaung dan dipantau di bawah projek tani Kumpulan Perintis telah dikenalpasti bagi berkongsi peluang perniagaan ini.
Di antara kelebihan utama bagi mereka yang menyertai seminar ini adalah berpeluang mempelajari teknik ternakan ikan keli dan lintah serta teknik tepat penanaman cendawan dan serai peha ayam dalam sehari secara tepat dan sistematik.
Manfaat lain termasuk pakej pertanian mini ini hanya dibuka kepada peserta seminar sahaja, setiap projek pertanian yang dipilih akan dipantau oleh para mentor secara percuma dan tiada yuran kursus lanjutan yang akan dikenakan.
Antara tujuan seminar tersebut adalah para peserta dapat membuat perbandingan dan pemilihan yang tepat selepas mendengar dan mempelajari kesemua projek mini yang disediakan oleh mentor-mentor yang terpilih.
Selain mendapat tunjuk ajar, mentor juga akan berkongsi cara pemasaran dan pengalaman mengusahakan projek-projek tersebut.
Kebanyakan projek pertanian tersebut dapat dimulakan dengan modal serendah RM1,600 - sehingga RM3,000 mengikut jenis projek yang ingin dimasuki oleh individu.
Ketua Projek Pertanian Bestari, Kumpulan Perintis, Muhd. Hilmy Hamzah, memaklumkan, peserta individu perlu membayar RM180 seorang. manakala berkumpulan iaitu dua peserta dan ke atas perlu membayar RM150 setiap orang.
Di bawah rancangan Pertanian Bestari, Perintis berhasrat memperluaskan agenda pengukuhan ekonomi rakyat ke tanah rancangan FELDA, penduduk miskin tegar dan koperasi-koperasi yang ingin menjayakan projek untuk ahli-ahli mereka.
Seminar ini turut dijayakan dengan penerangan khas daripada TEKUN Nasional sebagai pembiaya paling efektif membantu pengusaha yang ingin memulakan sesuatu projek pertanian.
Sebarang maklumat lanjut dan pendaftaran diri boleh menghubungi talian 03-6187 3796 atau 019-6634527 atau layari www.agrohub.net.
#Sumber : Utusan Malaysia - Mega ( AgroBiz ) 27/02/2009