Thursday, March 5, 2009

Kisah Cendawan di Sinar Harian


Graduan wanita usahawan cendawan :
SEBERANG TEMERLOH – Tanaman cendawan Tiram Kelabu yang diusahakan seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak setahun lalu berjaya memberi pulangan lumayan kepadanya. Pengusaha, Hartini Ishak, 25, seorang pemegang Ijazah Kimia Industri bertekad memulakan perniagaan menanam cendawan kerana pada waktu itu terlalu sukar untuknya mendapatkan pekerjaan dalam sektor swasta mahupun kerajaan. Menurutnya, setelah mencari pelbagai jenis perniagaan dia memilih untuk mengusahakan tanaman cendawan kerana dirasakan relevan perniagaan jenis itu apatah lagi ia tidak memerlukan kawasan yang luas dan modalnya tidak besar. “Saya memulakan perniagaan dengan membeli 600 beg cendawan pada bulan November 2006 dan berjaya mengembangkannya kepada 5,000 beg cendawan sehingga sekarang,” katanya sewaktu ditemui di kursus Tanaman Cendawan Tiram Kelabu di Kampung Tebal di sini, semalam. Hartini berkata, dengan modal kurang RM2,000 dia berjaya mengembangkan perniagaannya dan sekarang menjadi pembekal cendawan kepada kedai makan sekitar bandar ini dan Mentakab. Menurutnya, dia mendapatkan bahan mentah seperti habuk kayu, kapur dan beg plastik khas dari kawasan berhampiran dengan dibantu seorang pekerja. Hartini berkata, setiap beg cendawan produktif selama enam bulan dan mengeluarkan hasil pada bulan kedua. Setiap beg mampu menghasilkan cendawan seberat kira-kira 100 gram. Katanya, dalam perkembangan terkini setiap kilogram cendawan Tiram Kelabu berharga RM15 sekilogram bagi harga runcit. Selain itu Hartini turut menjual beg cendawan yang siap untuk menjalani proses kukus dan pembenihan kepada mereka yang berminat mengusahakannya. “Mereka yang berminat hanya perlu menyediakan rak dan bilik yang sesuai. Saya boleh menghantar terus kepada pelanggan. “Pelanggan hanya perlu menunggu dua bulan untuk hasil pertama dan risikonya kurang jika dibandingkan dengan membuatnya sendiri. “Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan dengan setiap satu beg cendawan berharga RM1.50,” katanya.

Usahawan kecil janji giat usaha:
PEKAN - Peluang dan bantuan yang disediakan kerajaan kepada usahawan kecil perlu digunakan dengan sebaiknya selain mempergiatkan lagi usaha yang dijalankan secara lebih meluas. Pengusaha tanaman cendawan, Hasani Ahmad, 53, berkata, bantuan yang diberikan pihak Tekun membantunya sebagai salah seorang usahawan Bumiputera mencapai impian untuk bergelar usahawan berjaya. Menurutnya, sebagai seorang usahawan kecil, dia gembira kerana usaha yang dijalankan selama ini dapat diperbesarkan lagi melalui bantuan yang disediakan. “Hasil tani yang diperoleh bakal diperbanyakkan melalui pembelian benih dan usaha membesarkan rumah cendawan yang dapat dilengkapi dengan peralatan yang lebih baik. “Bantuan yang diberikan amat membantu usahawan tempatan seperti saya berusaha untuk berjaya dalam perniagaan dan mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Tekun Nasional di Bangunan Umno, di sini. Pengusaha cendawan, Nazlan Hassan, 49, berkata bantuan berterusan dari pihak Tekun menyemarakkan lagi usaha yang dilakukan secara kecil-kecilan. “Saya yakin, dengan usaha yang dilakukan di samping bantuan yang diberikan, setiap usahawan kecil mampu meneruskan perniagaan yang dijalankan dengan lebih baik dan maju. “Jika selama ini, semangat yang ada pada usahawan hanya bergantung kepada usaha dan modal kecil yang dimiliki, namun bantuan yang mudah diperoleh melalui agensi seperti Tekun, ia pasti menjadi jalan kepada semua peniaga kecil di daerah ini,” katanya. Seorang pengusaha ayam kampung, Nurul Hidayah Mahassan, 27, berkata bantuan yang diberi kepada usahawan bumiputera amat dihargai kerana melalui modal yang diberikan, perniagaan yang dijalankan dapat diperkembangkan lagi dengan sebaik mungkin. Menurut ibu kepada dua anak ini, kehidupan sebelum ini mampu diubah melalui bantuan dan peluang yang diberikan kepada mereka yang mempunyai minat dan kesungguhan dalam bidang keusahawanan. “Saya dan suami dapat membesarkan lagi reban ternakan dan menambah jumlah bilangan ayam yang diternak bagi menampung kehidupan seharian,” katanya.

Pemasaran jadi masalah utama:
SUNGAI BESAR - Pemasaran antara masalah utama yang sering dihadapi usahawan dalam usaha mengembangkan perusahaan mereka. Golongan terbabit bukan sahaja berdepan dengan pesaing malah mereka juga sebenarnya sering gagal dalam mencari kaedah pemasaran yang lebih tepat untuk produk yang dihasilkan. Seorang pengusaha projek cendawan, Shamsul Rizal Kusmin berkata, pada awal pembabitannya dalam perusahaan cendawan, dia berhadapan dengan masalah yang sama. Shamsul yang pada awalnya mengusahakan tanaman cendawan hanya untuk keperluan makanan keluarga sedar ia boleh dikomersialkan secara meluas melalui perancangan perniagaan yang berkesan termasuk sasaran pemasaran. Menurutnya, teknik jualan dimulakan dengan mempromosi cendawan yang dihasilkan kepada jiran dan ahli keluarga terdekat. “Apabila perusahaan mula berkembang, saya mula meletakkan cendawan secara paket di gerai rakan sehinggalah kini menjadi pembekal kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada lawatan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar di sini. Shamsul berkata, walaupun pasaran secara kecil-kecilan, dia menganggap satu permulaan untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi. Sementara itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi berkata, idea dan kreativiti golongan belia sekiranya diaplikasikan dengan baik dalam program pembangunan ekonomi pertanian mahupun penternakan akan memberi keberkesanan yang tinggi. “Sehubungan dengan itu Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar menubuhkan Sekretariat Pembangunan Ekonomi sebagai pusat rujukan maklumat dan pemangkin program keusahawanan,” katanya. Menurut Budiman, pada 22 Februari ini, akan berlangsungnya Sidang Meja Bulat Jihad Ekonomi di Balai Komuniti Jalan Dato Seri dengan objektif mencari punca masalah dan merangka pelan tindakan ekonomi untuk ahli-ahli Pemuda setempat. Beliau menyeru kepada semua usahawan sama ada yang tinggal di Sungai Besar atau luar kawasan agar dapat meluangkan masa bagi turut hadir pada majlis tersebut. “Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar amat memerlukan input berkaitan masalah ekonomi supaya pelan tindakan yang berkesan dapat dirancang sebaik-baiknya,” katanya.

Percubaan awal usahakan cendawan bawa untung :
LABOK - Percubaan awal Mohd Nawawi Hussin, 52, mengusahakan tanaman cendawan tidak sia-sia apabila ia semakin berkembang dan menjadi punca pendapatan utama, di Taman Desa Bakti. Menurut Mohd Nawawi, semuanya bermula apabila isterinya menonton dokumentari pertanian memaparkan mengenai tanaman cendawan. Katanya, sejak itu isterinya, Che Shamsiah Che Mahmud, 43, mencadangkannya agar mencuba bidang tersebut walaupun pada ketika itu ia agak asing di kalangan penduduk tempatan. Kata Mohd Nawawi, pada peringkat permulaan dia mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan jabatan berkaitan termasuklah Jabatan Pertanian. "Sebaik sahaja tamat kursus, saya cuba mengusahakan tanaman cendawan ini secara kecil-kecilan iaitu 500 beg plastik. "Apabila mendapat permintaan dan mula dikenali ramai, saya mula menambah media yang ada sedikit demi sedikit dan kini, kami mempunyai lebih kurang 10,000 media. "Permintaan tinggi di pasaran juga menguatkan lagi semangat saya agar mengusahakannya dengan serius lagi," katanya yang juga menawarkan perkhidmatan sewa lori. Menurut Mohd Nawawi, proses penanaman cendawan agak mudah jika mengetahui teknik betul. Katanya, orang ramai berminat mengusahakannya wajar menimba ilmu terlebih dahulu termasuklah mengikuti kursus yang diadakan. Katanya, teknik yang betul memainkan peranan penting bagi memastikan hasil dikeluarkan nanti sama seperti disasarkan. Mohd Nawawi berkata, keluarga terutamanya isterinya banyak memberi dorongan termasuklah membantu dia mengusahakan kulat tersebut. Dia juga berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Machang, banyak membantu dari segi khidmat kaunseling bagi memastikan tanaman tersebut berjaya dan mampu membekalkan keperluan cendawan di kawasan sekitar. Selain itu katanya, dia turut menjual media tanaman kepada mereka berminat mengusahakan tanaman ini," kata bapa kepada enam anak itu.

Nekad selepas baca berita :
GONG BATU - Perusahaan cendawan tiram kelabu memberi manfaat, apatah lagi ia boleh diusahakan di kawasan kediaman dan mudah untuk dijaga. Menurut seorang pengusaha cendawan wanita di Bachok, Maizatul Akma Ibrahim, 32, minatnya terhadap perusahaan tanaman tersebut bermula apabila membaca berita mengenai pendapatan pengusaha cendawan memperoleh RM1,000 sebulan di salah sebuah akhbar tempatan. Katanya, dia kemudian berhenti bekerja di Kota Bharu dan memulakan perusahaan sendiri pada Mac lalu dengan membina dua unit bangsal berukuran 6x18 meter untuk setiap satu di hada-pan rumah. “Setakat ini, saya mendapat hasil cendawan yang dijual secara terus kepada pemborong dengan hasil percubaan 6,000 benih bagi bangsal pertama,” katanya kepada Sinar Harian di Kampung Gong Batu, Tawang. Katanya, pada kutipan lalu, dia memperoleh pendapatan bersih RM1,500 sebulan dengan hasil 30 kilogram sehari dan jualan pada harga ladang RM4 sekilogram. Menurutnya, sekarang ini, dia mengusahakan cendawan tersebut dengan 18,000 benih pada bangsal kedua dan akan mendapat hasil dalam masa dua bulan lagi dengan dibantu 10 ahli keluarga. Dia berkata, apa yang penting, untuk menjaga tanaman cendawan, bangsal yang diperbuat daripada atap membolehkan persekitaran sejuk bagi mengekalkan suhu antara 25 hingga 30 darjah celsius. Menurutnya, pada musim kemarau pula, dia menyiram air pada lantai di dalam bangsal bagi membolehkan cendawan tiram terus berada dalam persekitaran lembap. Maizatul bersyukur kerana mendapat khidmat nasihat Jabatan Pertanian Bachok dan Negeri. Katanya, untuk mengusahakan cendawan itu memerlukan kira-kira RM20,000 bagi modal permulaan termasuk membina bangsal.

Kelab Usahawan SMK Bukit Tunggal giat pelbagaikan aktiviti :
KUALA TERENGGANU – Kelab Usahawan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal semakin giat mempelbagaikan aktiviti dan program dalam usaha melahirkan usahawan berjaya. Penasihat merangkap guru sekolah, Ahmad Tarmizi Ismail berkata, aktiviti dijalankan berkisar kejayaan usahawan dalam merentasi cabaran dalam skop perniagaan. “Misalnya, anggota kelab usahawan ini pernah dibawa melawat Sinku Food Industries, Chendering, Sisme Food Industries, beberapa buah restoran dan banyak lagi. “Di sini, mereka diajar mengenai selok belok perniagaan dan diberi semangat serta sokongan bagaimana menghadapi dunia perniagaan semakin mencabar,” katanya. Ahmad Tarmizi berkata, kelab usahawan itu juga dibawa melawat perusahaan cendawan tiram kelabu milik Mohd Lufti Arsyad yang tinggal di Kampung Paloh. “Peluang melawat perusahaan cendawan ini memberikan satu kepuasan pada anggota kelab usahawan kerana rata-ratanya melahirkan hasrat untuk turut serta. “Mungkin disebabkan perusahaan ini mampu menjana pendapatan lumayan selain tidak memerlukan modal besar untuk mengusahakannya,” katanya.